Melabur dalam Raiz – Patuh Shariah ke?

Click here for English

31 Mei 2020 (DIKEMASKINI 09 Mac 2022)

oleh Aidi Izham, CFP®, MIFP

 

Semua portfolio pelaburan Raiz adalah di dalam dana-dana unit amanah.

Untuk Portfolio Bolehubah (“Custom Portfolio“), dana-dana unit amanah terlibat adalah;

  1. Dana Aberdeen Standard Islamic World Equity
  2. Dana UOB United-i Global Balanced
  3. Dana UOB United-i ESG Series – High Quality Sukuk
  4. Dana Affin Hwang Shariah Gold Tracker
  5. Dana Affin Hwang Aiiman Money Market

Dan kesemua dana tersebut adalah patuh Shariah.

 

Untuk portfolio Agresif, Moderate dan Konservatif, dana-dana unit amanah terlibat adalah;

  1. Dana ASN Equity 3
  2. Dana ASN Imbang 2
  3. Dana ASN Sara 1

Kesemua dana-dana ini adalah diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tidak dinafikan, dana-dana tersebut ada dua percanggahan pendapat tentang status “patuh Shariah” nya. PERTAMA, daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), badan berkanun yg bertanggungjawab mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia – dana-dana tersebut TIDAK diberikan status “patuh Shariah”.

Kenapa?

Kerana pegangan pelaburan strategik PNB dalam syarikat-syarikat perbankan Malaysia, terutama sekali Maybank (KLSE:MAYBANK), yang dianggap saham perkhidmatan kewangan tidak “patuh Shariah”. Untuk SC memberi status Shariah kepada sesuatu saham atau sekuriti, SC melihat kepada tanda aras aktiviti perniagaan (business activity benchmarks) dan tanda aras nisbah kewangan (financial ratio benchmarks). Selain itu, aspek kualitatif yang melibatkan persepsi umum atau imej aktiviti syarikat turut diambil kira.

Bagaimanapun, pendapat KEDUA daripada Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri dan juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bersepakat bahawa dana-dana ASNB “harus” hukumnya, atas beberapa sebab jelas berikut;

  • Mandat PNB adalah untuk memperkayakan kehidupan semua rakyat Malaysia dan Bumiputera khususnya yg majoritinya beragama Islam. PNB memiliki lebih 14 juta pemegang unit, di mana kira-kira 80% adalah Bumiputera.
  • PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan secara langsung dengan perkara-perkara haram seperti arak, judi dan rokok.
  • Saiz ekuiti patuh Shariah di Bursa Malaysia adalah terhad, terutamanya sektor perkhidmatan kewangan, apabila diambil kira amaun yg perlu PNB laburkan – saiz asset PNB ialah RM312 bilion, tetapi pasaran modal patut Shariah di bursa Malaysia hanya RM1.1 trillion (setakat 31 Dec 2019).
  • Jika PNB menarik keluar pelaburannya dalam Maybank, berkemungkinan besar ia akan mendatangkan kesan negatif yang besar kepada ekonomi Bumiputera Islam.
  • Andainya PNB tidak memiliki pegangan majoriti dalam Maybank, ia akan melambatkan pembangunan kewangan Islam di negara ini. Maybank Islamic, bank Islam terbesar dari segi aset di Malaysia dan ASEAN, jelas memacu pertumbuhan industri ini.

Oleh itu, atas sebab-sebab jelas ini, setelah mengambil kira dan mengutamakan kepentingan awam (maslahah), mengekalkan pelaburan di Maybank dianggap sebagai penting (dharuriyyah) – lalu Jawatankuasa Fatwa meng”harus”kannya.

 

Kesimpulannya;

  1. Dari SC – dana-dana ASNB TIDAK diberi status “patuh Shariah”.
  2. Dari Jawatankuasa Fatwa – HARUS.
  3. Tiada paksaan jika seseorang itu berhasrat untuk melabur, atau tidak sama sekali. Oleh kerana itu, prinsip hajiyyah (kemudahan) memberi kemudahan dan kelapangan dalam kehidupan sehari-hari. Ketiadaannya tidak akan menjejaskan kehidupan tetapi juga akan menyebabkan sedikit kesulitan.

 

Wallahuaklam.

 

Sumber:

Bursa Malaysia, FAST BNM

PNB Annual Report 2019

www.asnb.com.my

www.pnb.com.my 

 

 


 

Maklumat Penting 

Maklumat di laman web ini adalah nasihat umum sahaja. Ini bermakna ia tidak mempertimbangkan objektif pelaburan, keadaan kewangan atau keperluan pelaburan seseorang.

Sekiranya anda seorang pelabur, anda harus berjumpa dengan penasihat berlesen anda sebelum menggunakan apa-apa maklumat yang terdapat dalam artikel ini untuk memahami sepenuhnya manfaat dan risiko yang berkaitan dengan produk Raiz. 

Maklumat di laman web ini adalah sulit. Ia tidak boleh diterbitkan semula, diedarkan atau didedahkan kepada orang lain. Maklumat tersebut berdasarkan andaian atau keadaan pasaran yang berubah tanpa notis. Ini akan mempengaruhi ketepatan maklumat. 

Dalam apa jua keadaan maklumat yang akan digunakan oleh, atau disampaikan kepada, seseorang untuk tujuan membuat keputusan mengenai pelaburan di Raiz, prestasi pulangan masa lalu produk Raiz tidak boleh dijadikan panduan semasa membuat keputusan untuk melabur dalam Raiz dan bukan peramal prestasi masa depan yang baik.

Iklan ini tidak disemak oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).